Apakah Ribut Petir?
Ribut petir ditakrifkan oleh Pertubuhan Kajicuaca Sedunia (WMO) sebagai kejadian satu atau lebih nyahcas elektrik secara tiba-tiba yang menghasilkan lintasan cahaya (kilat) dan bunyi gemuruh (guruh)
- Ribut petir biasanya terjadi dalam keadaan atmosfera yang lengas dan tidak stabil.
- Awan kumulus terbentuk apabila udara panas berlengas naik dari permukaan bumi ke altitud yang lebih tinggi dan memeluwap.
- Ia berkembang secara menyisi dan menegak menjadi awan padat yang lebih besar yang disebut sebagai awan kumulonimbus, dengan golakan kuat di dalamnya dan aliran keluar yang kuat di bawah dasarnya.
- Awan ribut petir yang matang kerapkali mempunyai struktur bersel dengan diameter mencapai 3 ke 5 kilometer dan ketinggiannya melebehi 10 kilometer. Ia boleh wujud secara terpencil, berkelompok atau dalam garisan.
- Purata tempoh hidup ribut petir ialah antara 15 hingga 30 minit tetapi dalam keadaan tertentu, tempoh ini jauh lebih lama.
Apakah Kilat?
Udara yang turun naik di dalam awan ribut petir mengakibatkan pemisahan cas positif dan cas negatif. Kilat adalah nyahcas yang terhasil apabila perbezaan cas elektrik di antara permukaan bumi dan atmosfera cukup besar untuk mengatasi kesan penebatan udara. Kilat boleh terjadi samada di dalam awan, dari awan ke awan, atau antara awan dengan permukaan bumi. Kilat kerap menyambar di luar kawasan hujan lebat dan boleh berlaku sejauh 10 batu dari kawasan hujan tersebut.
Udara berhampiran kawasan yang dipanah kilat menjadi panas dan mencapai suhu melebihi 27,000°C - iaitu lebih panas daripada permukaan matahari. Pemanasan dan penyejukan cepat udara berhampiran kawasan yang terkena kilat menghasilkan rencatan gelombang yang mengejut lalu menghasilkan guruh.
Kilat boleh menyebabkan kerosakan peralatan elektrik yang terpasang dan boleh mencetuskan kebakaran. Kebanyakan kematian dan kecederaan akibat daripada kilat terjadi kepada mereka yang berada di luar bangunan.
Tempoh Ribut Petir Selalu Berlaku
Ribut petir boleh berlaku sepanjang tahun tetapi selalunya semasa tempoh antara monsun iaitu dari April hingga Mei dan dari Oktober hingga November. Di daratan, ribut petir lazimnya terjadi pada waktu petang dan senja manakala di lautan, ia kerap berlaku pada sebelah malam.
Keselamatan Semasa Ribut Petir dan Kilat !
Sebelum Ribut
- Semak ramalan cuaca sebelum keluar jika tempoh berada di luar agak panjang. Lihat sebarang tanda-tanda kedatangan ribut jika ada.
- Tangguhkan sebarang aktiviti luar jika ribut petir dijangka akan berlaku.
- Masuk ke dalam bangunan kukuh atau kereta
- .Jangan berteduh di tempat kecil atau di bawah pokok yang terpencil.
- Jika berlaku kilat dan tiada bangunan kukuh, masuk ke dalam kereta dan tutup tingkap.
- Keluar dari bot dan jauhi air.
- Talian telefon dan paip logam boleh mengalirkan elektrik. Hindari daripada menggunakan telefon atau sebarang kelengkapan elektrik.Guna telefon hanya semasa kecemasan. Cabut palam kelengkapan elektrik yang tidak digunakan.
- Jangan mandi.
- Tutup penyaman udara. Luruan kuasa kilat boleh memberikan beban lebih pada pemampat.
- Jika memandu di lebuhraya atau jejantas, berwaspada dengan angin kencang.
- Pindah ke tempat yang lebih tinggi jika banjir kilat dijangka berlaku.
- Berteduh di tempat rendah yang tidak banjir yang jauh dari pokok dan pagar.
- Jika berada di dalam hutan, berteduhlah di bawah pokok yang lebih rendah.
- Jika didapati kulit kita terangsang atau rambut kita menegak, berjongkoklah ke tanah. Letakkan tangan di lutut dengan kepala di antara kedua-dua lutut. Jadikan badan sekecil mungkin dan kurangkan daripada menyentuh tanah.
- Jika anda sedang berperahu atau berenang, kembali ke daratan dan segera dapatkan tempat berlindung.
Sumber : Malaysian Meteorological Department
0 ulasan:
Catat Ulasan